Jumaat, 14 November 2008

Budaya Kita Masyarakat Kita

Sudah lama aku tak tulis kat sini. Ini kerana aku memang seorang pemalas. Dan seperti biasa aku tidak akan membenarkan sifat malas ini terus menguasai diriku ini. Dan tidak dapat tidak, masa juga telah menafikan penulisan aku di blog ini. Rasa-rasanya sudah lapan tahun aku tidak menulis di sini. Tapi tidak mengapa, aku tak pernah membuat promosi langsung tentang blog aku ini samada di pasar malam atau di pasaraya atau di televisyen atau di radio hatta di laman-laman web yang lain. Jadi semua orang tak tahu tentang kewujudan blog ini dan tiada siapa pernah melawat blog ini. Segan mungkin. Ini mungkin kali pertama aku nak mempromosikan blog ni. Sebenarnya banyak yang ada di benak fikiranku untuk diluahkan tapi oleh kerana kesempitan yang aku hadapi hanya dipendamkan di dalam fikiranku saja.

Sekarang ini zaman peperiksaan. Lusa aku ada periksa. Subjek paling aku tak suka. Minat tu ada la sikit-sikit. Pening tak ayat aku? Putar tak ayat aku? Aku cuma nak menyedapkan hati ini. Menyuntik semangat yang hilang. Hilang di sebalik bangunan-bangunan tinggi yang penuh emosi dan nikmat dunia. Aku sebenarnya tak suka subjek yang membaca dan menghafal ni. Bukan untuk aku. Tapi dah dapat. Terpaksa terima dan teruskan perjuangan kehidupan ini. Mungkin ada hikmah disebaliknya.

Banyak pula masa aku untuk menulis blog ni. Walhal aku tak sentuh lagi pembacaan untuk peperiksaan aku. Ini semua kerja syaitan yang rakus untuk menenggelamkanku di alam penuh pembaziran. Ini mungkin juga sifat aku sendiri yang tak mahu kesalahan diletakkan diatas bahuku. Hehehe…

Baru-baru ini keputusan peperiksaan UPSR keluar. Dan mengadulah ibuku tentang keputusan anak buah aku yang keputusannya kurang cemerlang. Dan kerisauan dan kekesianan ibuku terhadap cucunya itu berlanjutan ke peringkat pengajian seterusnya. Harapan oleh keluargaku untuk menyekolahkan si anak buah aku tu di sekolah lama aku. Tapi dengan keputusan itu, impian mereka mungkin sedikit retak. Tu la anak buahku, main banyak sangat ni..

Walaubagaimanapun, topik yang aku nak sentuh ni tak berkaitan sangat dengan anak buahku itu. Ini berkaitan bahasa jiwa bangsaku. Kemana arah tuju bahasa kita selepas satu-satu peristiwa bahasa kita dianak tirikan dan dipinggirkan. Berkait dengan keputusan UPSR baru-baru ini, muncullah si menteri pelajaran mengatakan bahasa Inggeris masih relevan dengan sains dan matematik. Keputusan tak menurun dan tak merudum katanya. Memanglah. Kan keputusan di tangan mereka. Mereka boleh memanipulasi keputusan itu semahunya bagi mengaburi mata rakyat. Mereka akan mendabik dada berkata mereka telah berjaya membuat keputusan dengan tepat. Sebelum itu di dalam sebuah negeri, bahasa Mandarin ingin dijadikan bahasa tambahan di papan tanda. Negara apakah ini? Negara Malaysia atau negara Cina? Begitulah peristiwa menimpa bahasa Melayu yang diserang dari pelbagai penjuru. Kembali kepada topik aku. Aku nak tumpu bahasa Inggeris dalam pelajaran sebenarnya.

Bagi aku sains dan matematik bukanlah perlu sangat di dalam bahasa Inggeris kerana ia tidak membentuk sangat penggunaan ayat dan tatabahasa bahasa Inggeris itu sendiri. Kebanyakan ayat-ayat dalam sains dan matematik hanyalah ayat yang ringkas. Ini bermakna bahasa Inggeris dalam sains dan matematik tidaklah membolehkan kanak-kanak disekolah membuat karangan yang cantik dan percakapan yang menarik. Ini tak memperbaiki bahasa Inggeris mereka. Aku sebagai pelajar dalam bidang teknologi, berpendapat perbezaan dalam kedua-dua matapelajaran itu hanyalah istilah-istilahnya saja.

Ada juga kawanku di sini, tak berapa pandai dalam bahasa Inggeris tapi mereka amat hebat dalam bidang mereka ceburi. Dan mereka terpaksa melalui jalan yang panjang sebelum mampu menggenggam segulung ijazah kerana kekurangan bahasa Inggeris. Bahasa tidak penting dalam penguasaan sesuatu ilmu kalau itulah alasan penggunaannya. Yang penting, isi didalam bahasa itu. Ilmu yang ada, yang dihantarkan oleh bahasa itu. Itu dalam konteks ilmu sains, matematik dan teknologi.

Budaya masyarakat kita masih debelenggu oleh penjajah. Kita memandang hebat orang yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Disanjung seolah-olah dia telah membuka satu ruang untuk kita menganjakkan diri ke satu tahap yang lebih baik. Walhal tiada bezanya pun kalau si pengucap itu berbahasa Melayu. Tiada apa-apa perubahan pun yang berlaku. Tapi aku masih memuji tindakan orang-orang di negeri aku yang tinggal jauh sikit dari bandar yang masih memandang serong orang berbahasa Inggeris di tempat mereka. Hahaha… padan muka mereka dipandang sinis oleh atok-atok di kampung.

Apa salahnya kalau kita berbahasa Melayu di dalam negara kita sendiri. Bukannya orang-orang Barat akan memuji dan menyanjung kita kalau kita boleh berbahasa Inggeris. Mereka langsung tak pandang. Mereka akan pandang kita kalau kita ada kelebihan yang tersendiri. Contohnya ilmu dan teknologi yang ditemui oleh saintis,jurutera dan sarjana-sarjana kita. Mereka hanya akan ketawa dan bercakap “apa orang Melayu tu bercakap, mereka tiru bahasa kita. Mereka suka meniru. Mereka pak turut(telor mat saleh)”. Kita nak tunjuk kepada siapa yang kita boleh berbahasa Inggeris?
Pelbagai alasan yang digunakan untuk mementingkan bahasa Inggeris yang hakikatnya tidaklah sepenting mana. Di tempat aku belajar, bahasa Inggeris dikatakan dapat menaikkan taraf universiti dan menggalakkan pelajar-pelajar asing menyambung pengajiannya disini. Pendapat aku faktor penarikan pelajar-pelajar asing ke sini hanyalah kerana ilmu dan yuran pengajian yang lebih murah dari universiti-universiti di Barat. Jikalau tiada perbezaan kos pengajian, aku yakin mereka akan pergi ke universiti di Barat.

Bahasa Inggeris juga telah memberhentikan penulisan buku-buku yang diterbitkan di sini. Kalau dulu, masa sekolah menengah, aku selalu melihat terpampang penulis dari universiti ini menulis dalam pelbagai bidang. Tak kurang juga buku-buku terjemahan dari pensyarah di sini. Tapi sekarang sudah sepi. Ramai pensyarah tidak lagi aktif menulis buku-buku dan pihak penerbitan universiti juga semakin tiada kerja. Sangat kurang buku yang diterbitkan.
Di dalam kelas pula, oleh kerana bahasa pengantar yang ditetapkan ialah bahasa Inggeris, pensyarah lebih suka menggunakan buku-buku teks terbitan luar. Dan ini memang tidak menggalakkan penulisan buku-buku ilmiah di peringkat pengajian tinggi. Bahasa Inggeris seperti telah membunuh minat ahli-ahli akademik untuk menulis. Selain itu, pembelian ini telah menebalkan poket penerbit-penerbit luar. Mungkin ini yang dihajati oleh mat saleh di luar sana dengan kembangnya bahasa mereka. Mereka mungkin sedang ketawa berdekah-dekah dan berkata “orang Melayu…orang Melayu….pak turut betul(telor mat saleh lagi)”. Hakikatnya orang Melayu yang merendahkan bahasa Melayu itu sendiri.

Lihat negara-negara lain, yang tidak menggunakan bahasa Inggeris seperti Jepun, Perancis, Jerman, Cina masih boleh maju walaupun menggunakan bahasa mereka sendiri. Negara seberang Thailand, Indonesia (walaupun bahasa celup banyak) masih setia dengan bahasa mereka sendiri. Kenapa kita tidak boleh kekalkan bahasa kita sendiri? Adakah kita ingin cepat berkembang dan maju walaupun aku lihat kesannya tak seberapa. Ingat, sesebuah empayar tidak dibina dalam masa sehari.

PS: telor=pelat. hahaha....