Jumaat, 3 April 2009

Mata hati bangsa, bahasa

Oleh Salbiah Ani
dahiya@nstp.com.my

Isu PPSMI papar kemelut Melayu, Malaysia semasa

HAKIKAT bahawa isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibincangkan pada Perhimpunan Agung Umno ke-59 yang tamat bersidang Sabtu lalu, dilihat satu kaedah yang baik untuk memulihkan parti itu.

Ketua Satu, Angkatan Sasterawan Indera (Aksara), Abdul Ahmad, melihat langkah perwakilan kedua-dua sayap penting Umno membawa usul mengenai PPSMI memberi harapan orang Melayu kepada parti terbabit masih ada.

“Bagi saya Umno masih dapat melihat pentingnya bahasa jiwa bangsa. Kebetulan Umno ada kuasa dan jika tiada, tidak akan ada siapa yang peduli. Sementara ada kuasa, Umno perlu perjuangkan suara orang Melayu.

“Untuk mengubah PPSMI kita memerlukan kuasa. Di sinilah Umno perlu membuktikan perjuangan kepada orang Melayu kerana jika sudah hilang kuasa, tiada gunanya untuk bercakap dengan melihat ‘bulan’ dan ‘bintang’,” katanya ketika menghubungi Sastera, baru-baru ini.

Isu PPSMI menyedarkan Abdul betapa akar bangsa Melayu tidak kukuh dan mendedahkan hadirnya masalah dalam cara orang Melayu membina bangsanya sehingga mereka tidak sayangkan bahasa, bangsa dan budaya sendiri.

“Anak kita ibarat pokok dan cara kita membina mereka tidak kuat, lalu segala yang datang dari Barat lebih dihargai. Perkara ini berlaku sejak kecil dan berkesudahan dengan mereka tidak sayangkan bahasa dan bangsa sendiri seperti yang dapat dilihat pada hari ini,” ujarnya.

Meskipun bersekolah Inggeris bukan suatu kesalahan, tetapi apa yang berlaku di Malaysia baginya membuktikan ia kesilapan yang mengorbankan bangsa kerana mereka diterap dengan semangat Inggeris dan kebaratan sejak kecil sehingga terbawa-bawa apabila dewasa.

“Inilah yang dilakukan orang Inggeris kepada anak mereka sejak kecil. Mereka mahu anak mereka sayangkan bahasa dan bangsa sendiri. Umno sementara berkuasa perlu mengatur program menyeluruh untuk menanam semangat sayang pada bangsa,” jelasnya.

Abdul berharap Umno bergabung dengan badan bukan kerajaan untuk menanam semangat sayangkan bahasa dan bangsa, bukan kerana cauvinis, tetapi negara akan aman apabila ada satu bangsa yang dipertahankan apalagi kuasa ada pada satu tangan.

“Jangan lagi berbohong dan bersifat politik dalam tindakan. Jika kuasa seimbang sebenarnya ia bahaya dari segi kestabilan politik dan sebab itu negara yang ada kuasa majoriti dari segi bangsa aman kecuali Yahudi yang menunjukkan sebaliknya,” tegasnya.

Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Nor Hisham Osman, melihat kemelut PPSMI yang melanda kini adalah gambaran kejayaan misi penjajah negara ini dulu.

“Golongan aristokrat yang kecil bilangannya dijaga orang kulit putih dengan menghantar mereka dalam sistem pendidikan Inggeris untuk menjadi orang putih coklat yang akan memerintah negara ini dan matlamat melahirkan pemikiran mengikut acuan yang diharapkan itu berjaya,” ujarnya.

Baginya kelompok aristokrat sedemikian terus subur di Malaysia, ditambah pula dengan kelompok marhaen yang berjaya melonjakkan diri dalam kelas menengah selepas menerima pendidikan di Britain dan Amerika Syarikat, lalu terikut-ikut rentak sedemikian.

Kelompok terbabit didakwa lupa kesusahan masyarakat kampung selepas didedahkan dengan pemikiran sedemikian apabila berada di sekolah berasrama penuh, meskipun berasal dari kampung dan dikentalkan lagi apabila ditaja keluar negara bagi melanjutkan pelajaran.

“Kelompok ini yang memerintah kini dan bertanggungjawab menentukan dasar negara. Justeru, tidak menghairankan mereka berasa demikian. Mereka tidak berasa kesusahan orang Melayu dan lupa daripada 40 yang dilatih British sedemikian yang berjaya hanya dua tiga orang.

“Mereka melihat budaya dan semangat Melayu hanya pada pemakaian batik dan melihat orang menari. Disebabkan mereka berjaya kerana dididik dalam bahasa Inggeris, lalu merumuskan orang Melayu akan jadi senang dengan cara demikian. Mereka lupa majoriti Melayu yang susah di kampung dan terkial-kial dalam segala aspek,” ujarnya.

Beliau mengingatkan pihak yang berasa kuasa politik bangsa dan negara ini sudah hebat dan kukuh sehingga berjaya menarik pelabur luar ke negara ini agar mengambil iktibar daripada apa yang berlaku pada zaman kemelesetan ekonomi sebelum ini.

“Mengapa kita tidak boleh ‘paksa’ mereka berkebolehan bertutur dalam bahasa Melayu sebagai syarat untuk melabur seperti yang dipaksakan Indonesia ke atas pelabur luar sehingga ketua pegawai operasi pelabur luar tunduk pada peraturan terbabit?

“Pelabur luar tidak ikhlas. Mereka mahukan taraf perintis dan menutup operasi apabila tamat tempoh kerana enggan membayar cukai dan menjadikan kegawatan ekonomi sebagai alasan serta ‘lari’ ke negara yang menawarkan insentif pelaburan lebih menarik seperti China ketika ini,” ujarnya.

Jumaat, 14 November 2008

Budaya Kita Masyarakat Kita

Sudah lama aku tak tulis kat sini. Ini kerana aku memang seorang pemalas. Dan seperti biasa aku tidak akan membenarkan sifat malas ini terus menguasai diriku ini. Dan tidak dapat tidak, masa juga telah menafikan penulisan aku di blog ini. Rasa-rasanya sudah lapan tahun aku tidak menulis di sini. Tapi tidak mengapa, aku tak pernah membuat promosi langsung tentang blog aku ini samada di pasar malam atau di pasaraya atau di televisyen atau di radio hatta di laman-laman web yang lain. Jadi semua orang tak tahu tentang kewujudan blog ini dan tiada siapa pernah melawat blog ini. Segan mungkin. Ini mungkin kali pertama aku nak mempromosikan blog ni. Sebenarnya banyak yang ada di benak fikiranku untuk diluahkan tapi oleh kerana kesempitan yang aku hadapi hanya dipendamkan di dalam fikiranku saja.

Sekarang ini zaman peperiksaan. Lusa aku ada periksa. Subjek paling aku tak suka. Minat tu ada la sikit-sikit. Pening tak ayat aku? Putar tak ayat aku? Aku cuma nak menyedapkan hati ini. Menyuntik semangat yang hilang. Hilang di sebalik bangunan-bangunan tinggi yang penuh emosi dan nikmat dunia. Aku sebenarnya tak suka subjek yang membaca dan menghafal ni. Bukan untuk aku. Tapi dah dapat. Terpaksa terima dan teruskan perjuangan kehidupan ini. Mungkin ada hikmah disebaliknya.

Banyak pula masa aku untuk menulis blog ni. Walhal aku tak sentuh lagi pembacaan untuk peperiksaan aku. Ini semua kerja syaitan yang rakus untuk menenggelamkanku di alam penuh pembaziran. Ini mungkin juga sifat aku sendiri yang tak mahu kesalahan diletakkan diatas bahuku. Hehehe…

Baru-baru ini keputusan peperiksaan UPSR keluar. Dan mengadulah ibuku tentang keputusan anak buah aku yang keputusannya kurang cemerlang. Dan kerisauan dan kekesianan ibuku terhadap cucunya itu berlanjutan ke peringkat pengajian seterusnya. Harapan oleh keluargaku untuk menyekolahkan si anak buah aku tu di sekolah lama aku. Tapi dengan keputusan itu, impian mereka mungkin sedikit retak. Tu la anak buahku, main banyak sangat ni..

Walaubagaimanapun, topik yang aku nak sentuh ni tak berkaitan sangat dengan anak buahku itu. Ini berkaitan bahasa jiwa bangsaku. Kemana arah tuju bahasa kita selepas satu-satu peristiwa bahasa kita dianak tirikan dan dipinggirkan. Berkait dengan keputusan UPSR baru-baru ini, muncullah si menteri pelajaran mengatakan bahasa Inggeris masih relevan dengan sains dan matematik. Keputusan tak menurun dan tak merudum katanya. Memanglah. Kan keputusan di tangan mereka. Mereka boleh memanipulasi keputusan itu semahunya bagi mengaburi mata rakyat. Mereka akan mendabik dada berkata mereka telah berjaya membuat keputusan dengan tepat. Sebelum itu di dalam sebuah negeri, bahasa Mandarin ingin dijadikan bahasa tambahan di papan tanda. Negara apakah ini? Negara Malaysia atau negara Cina? Begitulah peristiwa menimpa bahasa Melayu yang diserang dari pelbagai penjuru. Kembali kepada topik aku. Aku nak tumpu bahasa Inggeris dalam pelajaran sebenarnya.

Bagi aku sains dan matematik bukanlah perlu sangat di dalam bahasa Inggeris kerana ia tidak membentuk sangat penggunaan ayat dan tatabahasa bahasa Inggeris itu sendiri. Kebanyakan ayat-ayat dalam sains dan matematik hanyalah ayat yang ringkas. Ini bermakna bahasa Inggeris dalam sains dan matematik tidaklah membolehkan kanak-kanak disekolah membuat karangan yang cantik dan percakapan yang menarik. Ini tak memperbaiki bahasa Inggeris mereka. Aku sebagai pelajar dalam bidang teknologi, berpendapat perbezaan dalam kedua-dua matapelajaran itu hanyalah istilah-istilahnya saja.

Ada juga kawanku di sini, tak berapa pandai dalam bahasa Inggeris tapi mereka amat hebat dalam bidang mereka ceburi. Dan mereka terpaksa melalui jalan yang panjang sebelum mampu menggenggam segulung ijazah kerana kekurangan bahasa Inggeris. Bahasa tidak penting dalam penguasaan sesuatu ilmu kalau itulah alasan penggunaannya. Yang penting, isi didalam bahasa itu. Ilmu yang ada, yang dihantarkan oleh bahasa itu. Itu dalam konteks ilmu sains, matematik dan teknologi.

Budaya masyarakat kita masih debelenggu oleh penjajah. Kita memandang hebat orang yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Disanjung seolah-olah dia telah membuka satu ruang untuk kita menganjakkan diri ke satu tahap yang lebih baik. Walhal tiada bezanya pun kalau si pengucap itu berbahasa Melayu. Tiada apa-apa perubahan pun yang berlaku. Tapi aku masih memuji tindakan orang-orang di negeri aku yang tinggal jauh sikit dari bandar yang masih memandang serong orang berbahasa Inggeris di tempat mereka. Hahaha… padan muka mereka dipandang sinis oleh atok-atok di kampung.

Apa salahnya kalau kita berbahasa Melayu di dalam negara kita sendiri. Bukannya orang-orang Barat akan memuji dan menyanjung kita kalau kita boleh berbahasa Inggeris. Mereka langsung tak pandang. Mereka akan pandang kita kalau kita ada kelebihan yang tersendiri. Contohnya ilmu dan teknologi yang ditemui oleh saintis,jurutera dan sarjana-sarjana kita. Mereka hanya akan ketawa dan bercakap “apa orang Melayu tu bercakap, mereka tiru bahasa kita. Mereka suka meniru. Mereka pak turut(telor mat saleh)”. Kita nak tunjuk kepada siapa yang kita boleh berbahasa Inggeris?
Pelbagai alasan yang digunakan untuk mementingkan bahasa Inggeris yang hakikatnya tidaklah sepenting mana. Di tempat aku belajar, bahasa Inggeris dikatakan dapat menaikkan taraf universiti dan menggalakkan pelajar-pelajar asing menyambung pengajiannya disini. Pendapat aku faktor penarikan pelajar-pelajar asing ke sini hanyalah kerana ilmu dan yuran pengajian yang lebih murah dari universiti-universiti di Barat. Jikalau tiada perbezaan kos pengajian, aku yakin mereka akan pergi ke universiti di Barat.

Bahasa Inggeris juga telah memberhentikan penulisan buku-buku yang diterbitkan di sini. Kalau dulu, masa sekolah menengah, aku selalu melihat terpampang penulis dari universiti ini menulis dalam pelbagai bidang. Tak kurang juga buku-buku terjemahan dari pensyarah di sini. Tapi sekarang sudah sepi. Ramai pensyarah tidak lagi aktif menulis buku-buku dan pihak penerbitan universiti juga semakin tiada kerja. Sangat kurang buku yang diterbitkan.
Di dalam kelas pula, oleh kerana bahasa pengantar yang ditetapkan ialah bahasa Inggeris, pensyarah lebih suka menggunakan buku-buku teks terbitan luar. Dan ini memang tidak menggalakkan penulisan buku-buku ilmiah di peringkat pengajian tinggi. Bahasa Inggeris seperti telah membunuh minat ahli-ahli akademik untuk menulis. Selain itu, pembelian ini telah menebalkan poket penerbit-penerbit luar. Mungkin ini yang dihajati oleh mat saleh di luar sana dengan kembangnya bahasa mereka. Mereka mungkin sedang ketawa berdekah-dekah dan berkata “orang Melayu…orang Melayu….pak turut betul(telor mat saleh lagi)”. Hakikatnya orang Melayu yang merendahkan bahasa Melayu itu sendiri.

Lihat negara-negara lain, yang tidak menggunakan bahasa Inggeris seperti Jepun, Perancis, Jerman, Cina masih boleh maju walaupun menggunakan bahasa mereka sendiri. Negara seberang Thailand, Indonesia (walaupun bahasa celup banyak) masih setia dengan bahasa mereka sendiri. Kenapa kita tidak boleh kekalkan bahasa kita sendiri? Adakah kita ingin cepat berkembang dan maju walaupun aku lihat kesannya tak seberapa. Ingat, sesebuah empayar tidak dibina dalam masa sehari.

PS: telor=pelat. hahaha....

Isnin, 14 April 2008

Doktor, Dadah, Doktor...

Kes penyalahgunaan dadah jelas menghancurkan masyarakat. Apabila seseorang terjebak dengan dadah maka suatu misi mustahil untuknya berpatah kembali ke jalan yang benar. Walaupun ada kebarangkalian untuknya sembuh tetapi ia amatlah kecil. Hanya sedikit yang mampu menangkis jerat najis dadah seterusnya mengelakkannya terus tersungkur hingga ke akhir hayat. Berapa ramai yang menjadi penghuni berkala pusat serenti, menjadi pelawat kehormat penjara, menjadi mumia sepenuh masa yang tidak menjadi tarikan pelancong, hingga menghembus nafasnya yang terakhir?

Lebih buruk mereka menjadi penyebar penyakit yang umum tahu sehingga kini tiada penawarnya iaitu AIDS. Anak isteri yang tidak bersalah dibawa sekali ke hukuman gantung yang tidak diketahui tarikhnya. Malah dadah juga menjadi punca segala maksiat dan jenayah di dalam kawasan kediaman kita.

Dadah adalah bahan kimia yang apabila pada asalnya untuk mengubati tapi disalahgunakan untuk mendapat kesan khayal. Kesan khayal akan menyebabkan ketagihan yang tak berkesudahan. Tapi bagaimana pula doktor yang membekalkan dadah untuk disalahguna? Orang yang dipercayai untuk mengubati tetapi sebaliknya dalam diam meracuni anak-anak muda kita?

Doktor menggunakan pengetahuan, kerjaya mereka sebagai topeng dan muslihat untuk menjual dadah. Mereka bukan musang bertopeng ayam, bahkan mereka adalah harimau yang bertopengkan anak ayam. Mereka menggunakan kesempatan di atas kebergantungan penagih dadah semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Kes salahlaku doktor bukan satu atau dua atau yang kadangkala kita bahasakan sebagai kes terpencil. Bahkan berpuluh-puluh kes sebegitu yang ada di Malaysia sahaja. Kenapa doktor yang diberi kepercayaan oleh masyarakat sanggup untuk melakukan perkara sebegitu? Menjadi sungguh tamak dan pentingkan diri sendiri? Menjadi manusia yang sanggup menghancurkan manusia yang lain? Mengutamakan wang daripada nyawa?

Tidak cukupkah pendapatan yang diperolehi mereka sehinggakan mendorong mereka untuk melakukan perkara sedemikian?

Ahad, 23 Mac 2008

Suruhanjaya Penipu Rakyat?

Walaupun pilihanraya dah agak lama berlalu, aku tetap ingin menceritakan pengalaman aku dengan suruhanjaya ni. Sebelum pilihanraya, aku dengar banyak cerita tentang suruhanjaya ni. Pengundi hantu, undi pos yang ntah dari mana-mana dan macam-macam lagi. Walaupun aku cenderung ke arah pembangkang (mungkin kerana bapak aku pembangkang sejati), aku tetap ragu-ragu memikirkan kebenaran dakwaan itu. Waktu itu, aku mungkin menerima 90% dakwaan tersebut. Peratusan yang tinggi itu kerana berita itu datang dari ustazku dan kenalan-kenalan yang lain. Cerita ustazku yang paling segar-bugar dalam ingatanku. Yang lain tu dah tak berapa ingat dah. Tambahan pula suruhanjaya ini dalam gengggaman kerajaan. Dan aku dah lihat apa yang kerajaan boleh buat.

Berbalik kepada cerita aku. Cerita ni berlaku dalam bulan Disember tahun lepas. Masa tu dah ada ura-ura tentang dekatnya tarikh pilihanraya. Jadi aku pun tak nak melepaskan peluang untuk membuat pilihan. Hasrat di hati ingin menunaikan tanggungjawab kepada negara. Aku pergi ke pejabat SPR dengan seorang kawanku yang tujuannya sama.

Penjaga kaunter SPR tu meminta kad pengenalanku untuk memeriksa status aku. Tapi yang menjadi kehairanan dan klimaks cerita ni, dia kata aku dah daftar dah. Aku takjub dan kagum dengan sistem yang diamalkan SPR. Sungguh canggih. Mungkin hanya melalui niat atau hasrat di hati dah cukup untuk mendaftarkan diri kita sebagai pemilih.

Aku berfikir sejenak. Dan aku kembali kepada alam yang nyata. Sebelum ni seingat aku, tak pernah pulak aku mendaftar dengan SPR atau benda-benda lain yang berkaitan dengan pengundian. Pilihanraya MPP pun aku tidur dgn lenanya sehinggakan nama aku naik di atas papan kenyataan di fakulti kerana tidak mengundi.

Aku tak puas hati. Aku periksa laman web SPR, malangnya tertulis di situ 'rekod tidak dijumpai'. Aku fikir mungkin SPR telah menyenarai hitam namaku kerana bapaku seorang pembangkang. Bermacam-macam andaian di fikiranku pada waktu itu. Tapi yang paling aku risau nanti pada waktu piliharaya rekod aku terus tidak dijumpai. Aku pun pergi ke pejabat pos untuk mendaftar kali ke-2. Disitu aku puas hati kerana pendaftaran aku diterima dan aku dapat salinan maklumat tentang pengundian aku.

Waktu tu aku yakin 100% yang SPR mengamalkan penyelewengan. Bukan setakat tu sahaja, selepas pengundian ada rakanku di kampung (boleh dipercayai) memberitahu yang rakannya tidak mendaftar tetapi mempunyai nama dalam senarai pemilih yang diperiksa di dalam laman web SPR. Yang malangnya, rakan kepada rakanku tadi berada di luar kawasan dan tidak balik mengundi. Sesampainya disini (tempat aku merantau) ada rakanku yang lain (juga boleh dipercayai) mencerita kemenangan pembangkang di kawasannya yang dinafikan oleh undi pos. Berita ini disampaikan sendiri oleh maknya (seorang pegawai polis) yang menjaga bilik gerakan.

SPR yang dipertanggungjawabkan untuk menegakkan demokrasi di negara ini pun dipalit dengan arang dan najis. Bilakah dan bagaimanakah negara kita akan menjadi lebih adil dan bersih?