Isnin, 14 April 2008

Doktor, Dadah, Doktor...

Kes penyalahgunaan dadah jelas menghancurkan masyarakat. Apabila seseorang terjebak dengan dadah maka suatu misi mustahil untuknya berpatah kembali ke jalan yang benar. Walaupun ada kebarangkalian untuknya sembuh tetapi ia amatlah kecil. Hanya sedikit yang mampu menangkis jerat najis dadah seterusnya mengelakkannya terus tersungkur hingga ke akhir hayat. Berapa ramai yang menjadi penghuni berkala pusat serenti, menjadi pelawat kehormat penjara, menjadi mumia sepenuh masa yang tidak menjadi tarikan pelancong, hingga menghembus nafasnya yang terakhir?

Lebih buruk mereka menjadi penyebar penyakit yang umum tahu sehingga kini tiada penawarnya iaitu AIDS. Anak isteri yang tidak bersalah dibawa sekali ke hukuman gantung yang tidak diketahui tarikhnya. Malah dadah juga menjadi punca segala maksiat dan jenayah di dalam kawasan kediaman kita.

Dadah adalah bahan kimia yang apabila pada asalnya untuk mengubati tapi disalahgunakan untuk mendapat kesan khayal. Kesan khayal akan menyebabkan ketagihan yang tak berkesudahan. Tapi bagaimana pula doktor yang membekalkan dadah untuk disalahguna? Orang yang dipercayai untuk mengubati tetapi sebaliknya dalam diam meracuni anak-anak muda kita?

Doktor menggunakan pengetahuan, kerjaya mereka sebagai topeng dan muslihat untuk menjual dadah. Mereka bukan musang bertopeng ayam, bahkan mereka adalah harimau yang bertopengkan anak ayam. Mereka menggunakan kesempatan di atas kebergantungan penagih dadah semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Kes salahlaku doktor bukan satu atau dua atau yang kadangkala kita bahasakan sebagai kes terpencil. Bahkan berpuluh-puluh kes sebegitu yang ada di Malaysia sahaja. Kenapa doktor yang diberi kepercayaan oleh masyarakat sanggup untuk melakukan perkara sebegitu? Menjadi sungguh tamak dan pentingkan diri sendiri? Menjadi manusia yang sanggup menghancurkan manusia yang lain? Mengutamakan wang daripada nyawa?

Tidak cukupkah pendapatan yang diperolehi mereka sehinggakan mendorong mereka untuk melakukan perkara sedemikian?

1 ulasan:

Karim Musa berkata...

ni hanyalah serangkap dari tugasan aku. saja nak bagi penuh blog ni...